Kenaikan kuota biasiswa bukan penyelesaian

June 3, 2008 at 4:33 am (Uncategorized)

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melihat tindakan menaikkan kuota biasiswa ke atas pelajar bukan Bumiputera di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bukanlah suatu langkah penyelesaian yang terbaik.

Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata dalam suatu kenyataannya ketika merujuk kenyataan kerajaan yang akan menaikkan kuota itu daripada 10 kepada 45 peratus pemberian biasiswa kepada bukan Bumiputera di bawah tajaan JPA mulai tahun ini.

“Dalam keghairahan kita menaikkan kuota biasiswa sebanyak 35% sebagai hadiah kepada bukan bumiputera, isu-isu sampingan yang melibatkan sensitiviti penduduk peribumi dalam negara juga harus diambil kira.

“Sepertimana kita sedia maklum, biasiswa pendidikan ini adalah hak penuh pelajar Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, tambahnya, kita menyokong pemberian hak kepada bukan Bumiputera jika ada kalangan mereka yang layak menerima bantuan kewangan. Segala bentuk diskriminasi yang dilakukan ke atas mereka tidak wajar berlaku.

Justeru, kata beliau, peningkatan kuota yang banyak untuk bukan Bumiputera bukan penyelesaian terbaik dalam mengembangkan pembangunan pendidikan negara.

“Permasalahan akan terus berlarutan jika sistem kuota ini terus dilaksanakan. Ini kerana peratus kuota boleh meningkat dan menurun pada bila-bila masa.

“Bayangkan jika jumlah kaum bukan Bumiputera yang layak diberi biasiswa menjangkau 45 peratus? Adakah kuota ini akan dinaikkan lagi sehingga 50 peratus atau akan mencecah 60%, di mana ia adalah peratusan yang melebihi kaum Bumiputera?” kata beliau.

Bagi tujuan pendidikan, tambah beliau, kerajaan seharusnya menyalurkan biasiswa penuh kepada seluruh mahasiswa Bumiputera memandangkan perkara tersebut adalah salah satu hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Amanah Saham Mahasiswa

Tambahnya, kepada pelajar bukan Bumiputera pula suatu skim bantuan kewangan khas yang mencukupi harus diwujudkan seperti Amanah Saham Mahasiswa.

Skim ini, menurut Muhammad Faisal, secara tidak langsung akan membantu melabur kewangan mahasiswa bagi menampung bebanan mahasiswa untuk membayar semula pinjaman.

“Mungkin ada pihak yang berpandangan bahawa pemberian biasiswa pendidikan tidak lagi boleh disalurkan memandangkan jumlah kuantiti mahasiswa yang begitu ramai berbanding zaman dahulu.

“Tetapi, jika kita lihat, hasil pendapatan ekonomi negara juga sebenarnya meningkat jauh lebih tinggi dari semasa ke semasa.

“Dengan peralihan daripada dasar pertanian ke perindustrian dan perkhidmatan serta pertumbuhan syarikat-syarikat besar yang menggalakkan dalam negara, ia seharusnya dimanfaatkan kerajaan,” kata beliau.

Di samping itu, tambahnya, pihak kerajaan disarankan dapat menggalakkan syarikat besar membuat pelaburan pendidikan.

“Sebelum ini kita hanya melihat syarikat GLC seperti TNB, TM, dan Petronas sahaja yang bersungguh-sungguh memberi sumbangan dalam aspek pendidikan. Maka, sudah tiba masanya pelaburan tersebut dicontohi oleh syarikat-syarikat besar lain.

“Antara usaha yang dilihat amat berkesan dalam pembangunan pendidikan termasuklah penubuhan universiti syarikat, skim bantuan untuk anak-anak perkerja, biasiswa untuk bakal pekerja syarikat dan sebagainya.

“Dalam pada itu, kerajaan juga boleh mengenakan cukai beberapa peratus ke atas keuntungan syarikat besar khusus bagi tujuan pendidikan,” jelas beliau.

Muhammad Faisal berkata, kejayaan pertubuhan pendidikan bangsa lain seperti Pertubuhan Jawatankuasa Kesatuan Sekolah-sekolah Cina (Dong Zong) seharusnya dicontohi dalam hal ini.

Dong Zong, menurut beliau, telah merancang sehingga keseluruhan dana mereka ditampung oleh ahli korporat dan syarikat konglomerat dalam kalangan mereka sendiri.

“Sekali lagi, tindakan menaikkan kuota biasiswa pendidikan bukanlah cara terbaik bagi menyelesaikan masalah ini.

“Sebaliknya, mekanisme yang membawa ke arah pelaburan pendidikan dalam sektor ekonomi negara harus diberi penekanan untuk menggantikan mekanisme kuota,” kata Muhammad Faisal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: