MSU teroka pendidikan antarabangsa

March 24, 2009 at 10:11 am (Uncategorized)

Oleh Ruhaiza Rusmin am@hmetro.com.my MANAGEMENT and Science University (MSU) melalui International Medical School (IMS) yang ditubuhkan di Bangalore, India mampu menjadi pemangkin melahirkan ramai pakar perubatan pada masa depan selain menampung permintaan kekurangan doktor yang dihadapi negara kini. Ia juga selaras bagi mencapai matlamat membantu kerajaan meningkatkan pembangunan modal insan dalam bidang perubatan sekali gus membantu negara melahirkan doktor yang memenuhi kapasiti dan kehendak masyarakat. IMS di Bangalore yang ketika ini menawarkan program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) adalah kampus pesisir antarabangsa pertama ditubuhkan MSU sejajar usahanya meneroka bidang pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa. Dekan IMS, Datuk Dr Abdul Ghani Mohammed Din, berkata penubuhan sekolah itu bertepatan kehendak MSU bagi menjadikan pendidikannya bertaraf dunia serta mampu mencapai standard global. Menurutnya, penawaran jurusan perubatan itu mampu memberi impak besar kepada dunia perubatan negara selain mempertingkatkan kualiti pendidikan sedia ada. “Dengan IMS, MSU berusaha memberi peluang kepada mereka berkelayakan untuk menjadi doktor daripada sebuah institusi bertaraf antarabangsa. “Ia juga bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan selain pemangkin bagi membantu negara meneruskan misi memperbaiki taraf hidup masyarakat terutama dalam aspek kesihatan pada masa depan. “Misi MSU bukan saja berusaha melahirkan pakar perubatan berkelayakan pada masa depan tapi juga bersama memikul tanggungjawab sosial membantu masyarakat dan negara mencapai standard kesihatan yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO),” katanya. IMS ditubuhkan hasil kerjasama MSU dengan Gokula Education Foundation, iaitu yayasan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan lebih 20 tahun. Pemilihan Bangalore bagi MSU menubuhkan sekolah perubatannya kerana bandar raya itu mewarisi kekayaan India dari segi kepakaran dalam bidang pendidikan perubatan serta teknologi maklumat. Mendapat jolokan ‘Lembah Silikon India’, ratusan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi dunia dan tempatan menjadikan bandar raya itu pusat pembangunan, inovasi serta penyelidikan luar. Menurut Dr Abdul Ghani, selain belajar dengan tenaga pakar berpengalaman, pelajar turut berpeluang mengikuti latihan serta mendapat pendedahan terbaik dalam bidang perubatan di MS Ramaiah Memorial Teaching Hospital dan Baptist Hospital yang dilengkapi peralatan canggih serta diperakui kebanyakan majlis perubatan dunia. Pelajar juga akan menjalani sesi kelas dan amali anatomi sekali gus memudahkan sistem pembelajaran kerana gabungan antara peralatan canggih, pendedahan secara amali serta tenaga kepakaran bakal memantapkan lagi proses pengajian. “Semua gabungan ini memberi banyak kelebihan dan manfaat kepada pelajar. Mereka bukan saja belajar secara teori malah melakukan banyak praktikal. “Untuk melahirkan pelajar baik dan berkualiti, sistem pembelajaran diikuti harus selari tanpa mengenepikan faktor sampingan lain. Inilah acuan yang diguna pakai MSU dalam melahirkan graduan mengikut berkualiti dan standard boleh dibanggakan,”katanya yang optimis MSU mampu membantu negara mencapai sasaran nisbah seorang doktor untuk setiap 600 penduduk menjelang 2020. Program MBBS di IMS mengambil masa lima setengah tahun dan selepas tamat pengajian, pelajar perlu mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ditempatkan di hospital awam seluruh negara di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memenuhi tuntutan latihan perubatan (housemanship) selama dua tahun. Pengambilan pelajar baru program MBBS di IMS dibuat pada September setiap tahun dan terhad kepada 150 pelajar. Ia Program ini terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Foundation MSU, diploma, A-Level dan matrikulasi. Pelajar yang berminat mengikuti program MBBS wajib mendapat keputusan cemerlang dan calon berkelayakan perlu menduduki Medical Entrance Test (MET) di MSU. Dr Abdul Ghani juga berkata IMS merancang menambah lebih banyak lagi bidang pengkhususan dalam program pengajian yang ditawarkan pada masa depan selaras usaha membantu negara melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang perubatan dana memainkan peranan positif dalam penyediaan modal insan minda kelas pertama. Pelajar yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program perubatan yang ditawarkan MSU boleh menghubungi International Medical School, MSU di Blok A, Jalan Equestrian 13/52, Off Persiaran Sukan, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor. Juga boleh menghubungi talian 03-5510 6868, faks 03-5510 8668, emel: enquiry@msu.edu.my atau melayari laman web http://www.msu.edu.my.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: